Wednesday, December 10, 2014

KEM T20 TAEKWONDO 2014 : HARI KETIGA

Hari ini masuk hari ketiga Kem T20 Taekwondo 2014 yang mana telah menunjukkan perubahan yang positif di kalangan atlet sepanjang melakukan aktiviti pada hari ini. Atlet-atlet begitu berdisiplin sepanjang 3 hari kem diadakan dan memudahkan jurulatih bagi melakukan tugas yang dipertangungjawabkan. Pada awal pagi atlet berkumpul untuk melakukan perhimpunan pagi dan melakukan sedikit regangan badan sebelum bergerak ke SMK Seri Pagi untuk menjalani latihan.

Seawal 7.00 pagi atlet telah menjalani latihan yang dikendalikan oleh En Benjamin Raj dan dibantu oleh jurulatih separuh masa yang lain. Latihan lebih memfokuskan tentang kepantasan pergerakan dan teknik tendangan dan tumbukan yang boleh diguna pakai sewaktu menghadapi kejohanan. Latihan intensif ini amat perlu dalam menyaingi atlet-atlet dari negara lain yang mempunyai kelebihan ketinggian berbanding atlet negara kita.

Pada sebelah petang latihan diteruskan lagi dan kali ini latihan telah dikendalikan oleh Cik Elaine Teo Shueh Fern iaitu bekas atlet negara yang pernah mewakili Malaysia dalam Temasya Olimpik di Beijing China yang mana kini telah menjadi jurulatih sepenuh masa bagi program Pelapis Kebangsaan. Dalam latihan ini, jurulatih telah menunjukan teknik-teknik menyerang dan bertahan yang mana teknik menyerang ini lebih memfokuskan kepada kepala pihak lawan dalam mencari markah yang lebih tinggi semasa dalam kejohanan-kejohanan yang disertai selepas ini. Latihan ini tamat sehingga jam 3 petang dan akan disambung keesokan hari.

Satu sesi ceramah Psikologi dan Persediaan Mental telah diadakan bersama Master Shivalingam iaitu seorang penceramah yang dijemput khas dari Institut Sukan Negara. Dalam ceramah ini atlet-atlet ditekankan dengan bagaimana atlet perlu bersikap lebih positif sebelum, semasa dan selepas menghadapi kejohanan. Kelemahan berfikir ketika beraksi dalam kejohanan juga antara faktor yang disentuh oleh Master Shivalingam yang mana menjadi punca atlet-atlet sering gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Sedikit permainan juga diselitkan semasa ceramah berjalan bagi memberi keseronokan memandangkan semua atlet yang terlibat merupakan atlet-atlet yang masih muda.
LAPORAN OLEH,
DINIE SUHAMI
PENGURUS SUKAN PELAPIS NEGERI

No comments:

Post a Comment