Monday, May 5, 2014

LAPORAN HARI KEEMPAT PROGRAM JANGKA PANJANG 2020/ 2024

PROGRAM T’20 MENUTUP TIRAI

TARIKH : 30 APRIL 2014
TEMPAT : JANDA BAIK, PAHANG

Kem Program T’20 yang berlansung selama tiga hari bermula dari 28 April sehingga 30 April akhirnya melabuhkan tirainya. Program T’20 berjalan dengan lancar sekali dengan kerjasama dari semua pihak yang sama-sama menjayakan program yang amat bermakna ini.

Hari terakhir Kem Program T’20 bermula pada pukul 6.30 pagi dimana seperti biasa atlet yang beragama Islam akan solat berjemaah bersama pihak urusetia dan seterusnya melakukan senamrobik di dataran yang dikendalikan oleh Kem Komandan dan pegawai dari cawangan hal ehwal atlet MSN.

Latihan raptai bagi persediaan majlis perasmian penutupan diadakan selepas sarapan pagi. Pihak urusetia bertungkus lumus menyiapkan semua yang perlu bagi melancarkan perjalanan majlis. Majlis perasmian penutupan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Seri Zolkples Embong selaku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia diiringi oleh Pengarah Cawangan Pelapis.  Majlis juga dihadiri oleh beberapa wakil dari persatuan sukan, Pengarah Majlis Sukan Negeri dan juga ketua unit USPTN negeri.

Majlis berjalan dengan lancar, ditambah dengan semangat para atlet yang menyanyikan lagu NegaraKu dan Semangat Sepasukan dengan begitu bersemangat lagi. YBhg. Dato’ Seri Zolkples Embong memuji akan semangat para atlet muda ini dan berharap agar pihak Pelapis terus cemerlang dan menghasilkan lebih banyak atlet pelapis yang mampu menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Majlis berakhir pada pukul 1.30 petang dan para jemputan serta atlet ke jamuan makan tengahari. Hari terakhir ini menyaksikan sedikit demi sedikit atlet bersama pegawai pengiring pulang ke negeri masing-masing. Semangat saling bekerjasama sehingga Program T’20 ini berjalan dengan cemerlang amatlah dirasai dan diharap agar terus berlanjutan di masa akan datang.

Walaubagaimanapun perjalanan para atlet terpilih ini tidak berakhir disini. Banyak program telah dirancang demi mencapai matlamat sebenar Program Jangka Panjang 2020 / 2024 ini.  Perkembangan dan penambahbaikan akan terus dibuat dari masa ke semasa.

Sekian, majulah sukan untuk Negara!


LAPORAN HARI KETIGA : KEMERIAHAN PROGRAM JANGKA PANJANG 2020/ 2024 (T20)


TARIKH : 29 APRIL 2014
TEMPAT : JANDA BAIK, PAHANG

Hari ini masuk hari ketiga para atlet, jurulatih dan urusetia berada di Janda Baik, Pahang untuk Program T’20. Hari ketiga dimulakan pada pukul 6.15 pagi dimana atlet beragama Islam solat secara berjemaah dan seterusnya ke aktiviti senmarobik sehingga 7.30 pagi.

Hari ini juga sesi Ujian Anthropometric berjalan sepanjang pagi dan petang. Atlet dibahagikan kepada 2 kumpulan dimana kumpulan pertama melakukan ujian timbang berat, tinggi dan ukuran depa. Manakala kumpulan kedua melakukan ujian ketahanan otot yang dikenali sebagai Yo Yo Test atau Bleep Test. Pada sebelah petang pula, kedua-dua kumpulan tersebut berganti pusat ujian. Sesi ini dikendalikan oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN) dengan bantuan urusetia dan PPN dari USPTN negeri.

Sesi petang diselitkan dengan sesi riadah dimana atlet dibenarkan berjalan di sekitar lokasi program diiringi oleh PPN negeri. Setelah itu atlet kembali ke bilik dan makan malam.

Aktiviti malam bermula pada pukul 8.00 malam untuk sesi latihan dalam kumpulan. Sesi ini dikendalikan oleh En Izuwan Arifin selaku perancang aktiviti Program T’20 dibantu oleh beberapa pegawai MSN dari Cawangan hal ehwal atlet. Sesi ini menyaksikan atlet berkenalan sesama sendiri dan melakukan banyak aktiviti yang santai. Kegembiraan dan keriangan atlet terserlah apabila dapat melakukan aktiviti seperti menari, permainan dan berkenal-kenalan dengan atlet-atlet lain. Aktiviti berakhir pada pukul 10.30 malam dan ditangguh ke esok hari.

Manakala pihak urusetia pula mengadakan postmortem setelah aktiviti berakhir dan membincangkan mengenai perjalanan majlis penutup esok oleh YBhg. Dato’ Seri Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara. Melalui postmortem hari ketiga, semua aktiviti berjalan dengan lancar dan baik.


LAPORAN HARI KEDUA PROGRAM JANGKA PANJANG 2020 / 2024 (T'20) 2014

TEMPAT : JANDA BAIK, PAHANG
TARIKH : 28 APRIL 2014


Hari ini Program T'20 bermula secara rasmi dimana semua atlet dan jurulatih sampai ke lokasi Janda Baik, Pahang. Kaunter pendaftaran dibuka seawal 8.00 pagi dimana 3 kaunter telah dibuka bagi melancarkan proses pendaftaran. Jumlah hari ini mencatatkan seramai 19 orang jurulatih dan 422 orang atlet yang telah mendaftar secara rasmi.

Pada sebelah petang pula aktiviti bermula pada pukul 2.30 petang dimana sesi taklimat berkenaan dengan peraturan dan perjalanan program dilaksanakan oleh Encik Macklin Hamzah selaku Kem Komanden. Majlis bersama Pengarah Cawangan Pelapis dimulakan pada pukul 3.30 petang dan diteruskan dengan taklimat bertajuk 'Halatuju dan Tumpuan Atlet' oleh Ketua Unit Pelapis Kebangsaan En. Azrul Hisyam.

Seterusnya sesi bersama Dr. Velapandian Pengarah Pengarah Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi bersama Pegawai Psikologi ISN En Neo Sze Yeng untuk sesi bersama pegawai ISN. Beliau menerangkan sedikit sebanyak mengenai pengurusan psikologi atlet elit dan soal selidik berkaitan dengan psikologi.

Setelah makan malam, sesi Ice Breaking dikendalikan oleh beberapa staff MSN dari cawangan hal ehwal atlet MSN bersama Kem Komandan. Manakala barisan jurulatih bersama Pengarah Cawangan Pelapis untuk sesi perbincangan mengenai program ini.

Aktiviti hari ini berakhir pada pukul 10.30 malam dan semua atlet balik rehat ke bilik masing-masing. Manakala pihak penganjur pula mengadakan postmortem untuk mengemaskini perjalanan program untuk hari. 

Aktiviti esok akan dimulakan seawal 6.15 pagi untuk sesi solat berjemaah dan aktiviti senamrobik.